APRIL 2024

Sarawak Terokai Potensi Besar Sisa Biojisim


LONDON: Sarawak akan membuat pengiraan dalam memanfaatkan sisa biojisim dengan menukarkannya menjadi tenaga yang efisien.

Menurut Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, kerajaan negeri melihat potensi yang ada dalam menukarkan sisa-sisa biojisim melalui bahan bakar yang dikenali sebagai palet kayu dalam menghasilkan tenaga yang diperbaharui.

"Kita telah meninjau perkara-perkara baharu yang dapat  dipelajari dalam taklimat dan 

lawatan kita. 

“Di sini mereka mengeluarkan lebih kurang 3.9 gigawatts dan 

 menggunakan sisa-sisa kayu yang diimport dari Kanada dan Amerika Syarikat.

"Mungkin daripada kos ada tinggi disebabkan oleh kos logistik tetapi yang perlu ialah kita memahami teknologi untuk memanfaatkan sisa biojisim dengan menukarkannya menjadi tenaga dan apabila balik nanti kita akan membuat pengiraan," menurutnya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai delegasi kerajaan negeri melawat Loji Janakuasa Drax terletak di Yorkshire Utara, England pada petang Isnin, waktu tempatan.

Tambahnya, jika Sarawak mempunyai loji tenaga yang baharu dan efisien, negeri ini boleh mengeluarkan tenaga boleh diperbaharui daripada sumber sisa yang ada.

“Tetapi saya nampak pada umumnya kita boleh menjana tenaga menerusi sisa biojisim dengan menukarkannya menjadi tenaga,” tambah beliau.

Dalam pada itu, Premier Sarawak dijadual berucap dalam Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) dan Semikonduktor di Dewan Rakyat, Parlimen UK pada Selasa.

Beliau juga akan menyaksikan pemeteraian dan pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara SMD Semiconductor dan syarikat dari UK, CSA Catapult.

Premier Sarawak dan delegasi kerajaan negeri kemudian akan bertolak ke Poland bagi menghadiri Forum Teknologi Hidrogen dan menyertai sesi ‘Debate Regions for the Planet’.